Rahimah Teh: ABOUT ME: Assalamualaikum kepada sesiapa yang sudi melawat blog saya ini. Harap semuanya sihat berada dalam rahmat Illahi. Nama saya Rahimah Teh berasal dari Kuantan Pahang. Dilahirkan pada 28hb Disember, 1965..tahun ni usia saya telah menjangkau ke angka 47 tahun. Tiga tahun lagi saya bakal bergelar warga emas. Dalam perjalanan hidup yang hampir setengah abad ini terlalu banyak pengalaman pahit getir yang saya lalui. sebagai hamba apayang saya mampu hanya bersyukur dan redha kerana setiap yang Dia anugerahkan kepada saya adalah rahmat yang kadangkala saya terlepas pandang. Saya juga amat bersyukur kerana saya adalah anak yang terpilih untuk mewarisi semangat yang kental, ketabahan hati dan kesabaran dari arwah ibu saya Hajah Teh..kerana itulah saya masih mampu bertahan sampai hari ni walaupun berbagai dugaan yang datang pada saya silih berganti namun setakat ni saya belum lagi patah semangat untuk teruskan perjuangan saya dalam kehidupan. Dalam pada itu saya terus berdoa dan berharap agar suatu hari akan ada cahaya yang akan menyinari hidup saya dan anak-anak saya. Apa yang saya sangat harapkan hidup kami sekeluarga sentiasa mendapat rahmat dan kedhaan Illahi dunia dan akhirat.
Saya telah berjanji pada diri saya walau apa terjadi sekalipun selagi hayat saya di kandung badan saya akan terus berusaha agar anak-anak saya tidak akan mewarisi kesusahan yang saya alami kerana apa yang saya nampak anak-anak saya tidak sekuat saya untuk melalui kehidupan dunia yang semakin mencabar ini. Kerana itu sedaya upaya mungkin saya bekalkan mereka dengan ilmu pelajaran setakat mana yang mampu mereka capai. Dan saya pastikan juga saya bekalkan mereka dengan ilmu kehidupan kerana pada saya sehebat mana pun sijil yang mereka miliki bukan jambatan untuk mereka berjaya dalam kehidupan.
Saya amat yakin dengan hukum alam "langit tidak selalunya cerah dan mendung tidak berpanjangan...panas tidak sepannjang hari dan hujan pula tidak sepanjang tahun". Setiap kejadian adalah rahmat dari Allah.
Pada saya kalau pun dipandang rendah sesama manusia ianya tidak memudarkan semangat saya untuk teruskan perjalanan hidup ini asal saja saya tetap mulia di sisi Allah. Biasalah kehidupan manusia hari ni.."hina besi kerana karat, hina manusia kerana melarat". Saudara pun tak akan pandang jangan kata orang lain.
Saya tahu saya tidak sehebat mereka tapi saya bahagia dengan apa yang saya ada sekarang ni. Saya dkurniakan anak-anak yang ramai dua lelaki dan empat perempuan..semuanya comel-comel dan tampan di mata saya walaupun saya sendiri tak secantik mana. Alhamdulillah anak orang lain masuk universiti anak saya pun masuk universiti juga. Anak orang lain bergelar siswazah apa kurangnya anak saya siswazah juga. Saya bangga kerana dengan hasil titik peluh saya sendiri dibantu oleh PTPTN anak saya dah pun tamat pelajaran tinggal lagi tiga orang yang masih saya perlu tanggung namun saya bertuah kerana mempunyai anak yang sangat bertanggungjawap. Mereka tidak pernah lupa untuk membantu saya dalam menyara kehidupan. Tapi saya tidak boleh terus bergantung pada mereka kerana mereka juga akan ada kehidupan sendiri. Dan pemegang saham utama iaitu anak kedua saya akan melangsungkan perkahwinan tahun depan. Harap-haraplah masa tu kehidupan saya telah berubah semakin baik kerana saya kalau boleh tak nak lagi membebankan dia untuk terus menyara keluarga. Saya berdoa agar apa yang saya usahakan hari ini akan berjaya secepat mungkin. Memang bukan mudah tapi saya mesti kena lebih gigih lagi berusaha agar apa yang saya impikan menjadi kenyataan.
Saya sendiri tidak punya apa-apa untuk dibanggakan. Sekolah pun tidak setinggi mana, sudahlah tu kemahiran apapun tak ada. Yang ada hanya licence yang agak besar juga lah tapi tidak ada ertinya pada seorang wanita yang berusia seperti saya. kalau saya dilahirkan sebagai lelaki mungkin ianya aset untuk saya mencari reezeki ataupun jika saya masih muda dari usia sekarang mungkin juga ada kepercayaan orang pada saya. Saya memiliki licence E full, PSV teksi dan bas juga GDL untuk melayakkakn diri saya membawa barang-barang perdagangan. Walaupun saya masih yakin yang saya mampu memandu tapi mana ada syarikat yang percayakan wanita seperti saya untuk bekerja dengan mereka. Untuk jadi pemandu peribadi pun orang tak nak kecuali saya ada perniagaan pengangkutan sendiri. Tapi jangan kata nak beli lori atau ven nak bayar installment kereta pun nyawa-nyawa ikan. Nak buat pinjaman pun nama dibankrupkan oleh orang yang suka mengambil kesempatan atas kelemahan orang lain. Tapi tak apa Allah kan ada..Dia maha adil dan maha mengetahui. Dia tidak akan bebankan hambanya dengan apa yang kita tidak tertanggung.
Kehidupan saya banyak saya habiskan untuk bekerja, anak-anak, seminar dan bengkel yang dianjurkan oleh kerajaan dan NGO, sedikit untuk kawan-kawan dan selebihnya di hadapan skrin ni. Saya minat untuk menulis tetapi saya tidak punya masa dan ilmu yang cukup. Tetapi kata orang bijak pandai perjalanan yang beribu batu boleh dimulakan dengan langkah yang pertama. Dan hari ini saya telah cuba untuk mulakan langkah pertama saya. Saya gembira kerana walaupun bahasa tidak seindah kata..tapi saya mampu memulakannya...insyaallah jika diizinkan Allah saya akan terus menulis lagi di blog saya ini. Walaupun tidak ada yang sudi melawatnya tapi cukup untuk saya mengasah bakat dan memulakan langkah pertama saya sebelum saya terus melangkah dan melangkah sehingga tercapai impian dan matlamat saya.